Aduan Rasmi

Aduan Berhubung Pelanggaran Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) oleh Pemaju Saya merupakan salah seorang pemilik kediaman di RMMJ TOWNHOUSE di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang. Saya ingin membuat aduan berhubung tindakan pemaju iaitu MERIDIN EAST SDN BHD yang dipercayai melanggar peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), khususnya berkaitan keputusan melantik agen pengurusan serta menaikkan kadar yuran penyelenggaraan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada bulan Oktober 2025. Untuk makluman pihak Tuan, tempoh pengurusan permulaan oleh pemaju telah tamat pada 10 Julai 2022. Selain itu, pemaju masih gagal mengambil langkah sewajarnya untuk menubuhkan dan menyerahkan pengurusan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC), walaupun telah hampir lima tahun sejak pemilik menerima milikan kosong (Vacant Possession). Pemaju juga tidak melaksanakan tanggungjawabnya untuk menyediakan pejabat pengurusan khusus bagi kegunaan penduduk. Sehubungan itu, saya ingin menarik perhatian pihak Tuan terhadap beberapa peruntukan Akta 757 yang berkaitan, seperti berikut: 1. Seksyen 9(4)(a) dan (b) serta Seksyen 9(5), Akta 757 Kewajipan dan kuasa pemaju semasa tempoh pengurusan pemaju (4) Semasa tempoh pengurusan pemaju— (a) pemaju hendaklah memastikan bahawa suatu kawasan yang berasingan dan berlainan dikhaskan daripada harta bersama kawasan pemajuan itu semata-mata bagi maksud suatu pejabat pentadbiran untuk menjalankan kewajipan pemaju di bawah Akta ini; dan (b) pemaju tidak boleh membuat apa-apa kontrak yang berhubungan dengan penyenggaraan dan pengurusan sesuatu bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama di dalam kawasan pemajuan itu bagi apa-apa tempoh selepas habisnya tempoh pengurusan pemaju. (5) Mana-mana pemaju yang tidak mematuhi subseksyen (1), (2) atau (4) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 2. Seksyen 48(2) dan (3) serta Seksyen 48(4), Akta 757 (2) Pemaju hendaklah menjalankan kuasa dan melaksanakan kewajipan jawatankuasa pengurusan perbadanan pengurusan dari masa perbadanan pengurusan itu mula wujud sehingga habis tempoh pengurusan permulaan (3) Semasa tempoh pengurusan permulaan, pemaju hendaklah memastikan bahawa suatu kawasan yang berasingan dan berlainan dikhaskan daripada harta bersama bagi kawasan pemajuan itu bagi maksud semata-mata sebagai pejabat pentadbiran bagi menjalankan kewajipan pemaju di bawah Akta ini. (4) Mana-mana pemaju yang tidak mematuhi subseksyen (1) atau (3) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Berdasarkan perkara-perkara tersebut, saya memohon agar pihak Tuan dapat membantu supaya satu siasatan menyeluruh dapat dijalankan terhadap tindakan dan kegagalan pemaju mematuhi peruntukan Akta 757. Saya juga memohon agar pihak berkuasa meneliti kesahihan keputusan AGM pada Oktober 2025 berkaitan pelantikan agen pengurusan dan kenaikan kadar yuran penyelenggaraan, memandangkan tempoh pengurusan permulaan pemaju telah tamat pada 10 Julai 2022. Saya berharap pihak Tuan dapat membantu memastikan hak dan kepentingan pemilik rumah dilindungi serta tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang oleh pihak pemaju. Kerjasama dan perhatian pihak Tuan terhadap perkara ini amat saya hargai.
Gambar rujukan aduan
0 pengguna telah melapor